PORT DICKSON 5 Okt. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadikan Port Dickson sebagai ‘markas’ untuk beliau membina semula karier politiknya.
Jelas Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu lagi, sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, beliau tidak mahu menjanjikan apa-apa perkara namun sekiranya diberikan mandat oleh rakyat, tentunya permasalahan yang dihadapi rakyat dan anggota tentera akan menjadi keutamaan dan perjuangannya.
“Saya telah membuat keputusan untuk menjadikan Port Dickson sebagai markas saya termasuk kawasan tentera darat ini, saya tak mahu janjikan apa-apa kerana saya patuh dengan peraturan ditetapkan bahawa kempen ini harus bersih tetapi jika diberi mandat tentu saya akan perhatikan permasalahan rakyat termasuk permasalahan tentera darat.
“Tugas saya sebagai tokoh kerdil yang mahu bermula semula setelah hidup dalam gelombang 20 tahun keluar masuk penjara, saya mahu bermula dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Seperti yang disebut oleh Nabi Shuaib a.s., iaitu ‘aku akan lakukan sedaya upaya, segala kekuatanku, perjuanganku melakukan perubahan’,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Warga Tentera Darat Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di Dewan Terbuka, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Aminuddin Harun; Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Md. Tajri Alwi dan Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Reduan Omar.
Sementara itu, Aminuddin berkata, majlis seperti ramah mesra bersama anggota tentera seperti yang dijalankan hari ini adalah perlu kerana peranan pasukan keselamatan negara itu amat adalah amat besar dan penting termasuk di Negeri Sembilan.
“Di Negeri Sembilan terdapat pusat latihan tentera serta beberapa kem yang besar berbanding di negeri-negeri lain, jadi saya dimaklumkan terdapat lebih 11,000 anggota tentera di negeri ini dan itu merupakan angka yang besar.
“Hari ini merupakan pertemuan pertama dan diharapkan hubungan sedia ada di antara kerajaan negeri dengan angkatan tentera termasuk di Port Dickson akan berterusan. Selepas ini akan ada program susulan bukan sahaja dengan anggota tetapi juga melibatkan ahli keluarga anggota,” katanya. – UTUSAN ONLINE











