SHAH ALAM 18 Okt. – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau menanggung keperitan hati ketika membuat keputusan bersetuju untuk membenarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada awalnya.
Katanya, rasa itu terbit disebabkan sejarah lama hubungan antara mereka berdua, yang menyaksikan beliau dipecat daripada Kabinet pada 1998 oleh Dr. Mahathir, sebelum kemudiannya disabitkan bersalah dan dipenjarakan.
Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau membuat keputusan untuk mengetepikan perasaan sendiri demi kepentingan Pakatan Harapan (PH) dan negara, walaupun pada ketika itu ramai dalam kalangan pemimpin PKR turut marah.
“Saya tahu perit dan pedihnya (mengizinkan Dr. Mahathir) tetapi kita perlu ada kebijaksanaan. Saya tahu dan saya alami keperitan.
“Duduk dalam penjara, tak larat aku tapi saya senyum, namun luka di hati siapa yang tahu?
“Tetapi bila renung, antara derita kita dengan rakyat, antara perubahan dan negara, kita pilih negara dan rakyat,” katanya ketika berucap dalam program Pidato Malaysia Baru di sini malam ini.
Yang hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta Menteri Besar, Amirudin Shari.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai PKR, Anwar dalam nada keras mengingatkan kesemua kepimpinan dan ahli parti agar tidak terpesong daripada idealogi reformasi setelah 20 tahun ia diperjuangkan.
Jelasnya, dalam keadaan PKR kini sebahagian daripada komponen PH yang memiliki kuasa eksekutif di peringkat Pusat dan negeri, adalah tidak mustahil untuk pemimpin serta ahli parti, tidak lagi berpegang kepada idealogi reformasi.
“Agenda reformasi ini asalnya dari jalanan tetapi kini sudah diangkat menjadi dasar pentadbiran tetapi jika kita leka, asas perjuangan ini tidak lagi menjadi pegangan khususnya bila sudah ada kuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE










