Anggota bomba lemas: Bapa remaja jatuh lombong sedih, ucap takziah - Utusan Malaysia

Anggota bomba lemas: Bapa remaja jatuh lombong sedih, ucap takziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG – Bapa remaja yang terjatuh dan dikhuatiri lemas di lombong di Taman Putra Perdana di sini, mengucapkan takziah kepada keluarga enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat anaknya.

Mohd Azzam Naim, 46, berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya tidak sangka pula operasi mencari anak saya, Mohd Ilham Fahmy bertukar menjadi tragedi begitu menyedihkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian awal pagi ini.

Kesemua mangsa (gambar bulat) sedang dalam operasi mencari seorang remaja yang hilang sebelum diland
Kesemua mangsa (gambar bulat) sedang dalam operasi mencari seorang remaja yang hilang sebelum dilanda arus deras. – Foto media sosial

 

Menurut, Mohd Azzam kawasan lombong itu memang tidak berpagar dan menjadi tempat penduduk termasuk warga asing menangkap ikan.

“Malah dua bulan lepas, dua lelaki dilaporkan lemas di kawasan kejadian. Saya ada menasihatkan anak saya supaya tidak ke sini tambahan lagi cuaca sekarang kerap hujan. Namun tak sangka pula dia datang ke sini bersama dua lagi rakannya,” katanya.

Menurut Mohd Azzam, anaknya meminta izin untuk keluar rumah kira-kira  4 petang semalam.

Lokasi tempat kejadian (gambar bulat).
Lokasi tempat kejadian (gambar bulat).

 

“Harapan saya agar anak saya dijumpai secepat mungkin,” katanya mengenai remaja berusia 17 tahun itu.

Keenam-enam yang terkorban dalam insiden 9.15 malam tadi itu terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. – Bernama

Di lombong inilah tragedi lemas anggota bomba berlaku malam tadi. - Foto media sosial
Di lombong inilah tragedi lemas anggota bomba berlaku malam tadi. – Foto media sosial
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN