BALIK PULAU 4 Okt. – Seorang penganggur berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membunuh ibu kandungnya sendiri, 19 September lalu.
Pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, Mohammad Firdaus Ismail, 29, pada 19 September lalu antara pukul 6.30 pagi hingga 8 malam di sebuah rumah di Jalan Bharu, Balik Pulau, Barat Daya di sini telah membunuh dengan menyebabkan kematian Faridah Mat Hashim, 63.
Atas kesalahan itu, dia boleh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun yang sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGM), Edmund Anthony Herman.
Rais Imran turut mencadangkan kepada mahkamah agar tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas ini.
Sementara itu, Anthony Herman pula memohon untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan terhadap tertuduh berikutan terhadap kesan pendarahan pada mata kiri tertuduh.
Nur Fadrina kemudian menetapkan 8 November sebagai tarikh sebutan semula kes dan bersetuju untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi di sini selain tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.-UTUSAN ONLINE











