Aminuddin mahu jadikan Putrajaya bandar pintar - Utusan Malaysia

Aminuddin mahu jadikan Putrajaya bandar pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 4 Okt – Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu Datuk Dr. Aminuddin Hassim berazam menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini sebagai bandar pintar dengan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia.

Aminuddin berkata, sebagai sebuah bandar dengan majo­riti penduduknya berkerjaya, Putrajaya perlu dibangunkan dengan penekanan kepada penyampaian perkhidmatan sebagai teras utama agar sei­ring dengan pembangunan sektor ekonomi dan sosial.

Beliau berkata, Putrajaya telah mengalami pembangunan yang begitu pesat dan atas faktor itu, PPj mengambil tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan kepada penduduk berada di tahap terbaik, kondusif dan boleh dibanggakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk tempoh 100 hari pertama sebagai Presiden PPj, saya akan turun bertemu dan berinteraksi dengan penduduk dan pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkhidmatan dan program yang mereka inginkan.

“Saya juga akan berjumpa dengan pemegang taruh dan pihak industri bagi menjana idea untuk membangunkan lagi Putrajaya agar terus berada di landasan terbaik dalam sistem perkhidmatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas memulakan tugas hari pertama selaku Presiden PPj di sini.

Menurut Aminuddin, beliau juga akan melihat kepada pe­rancangan yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya sebelum ini agar ia dapat disusuli dan dilaksanakan dalam memastikan rakyat terus berbangga dengan kewujudannya.

“Saya juga sedia maklum mengenai keluh kesah penduduk tentang pengangkutan awam di Putrajaya. Perkara ini juga akan diberikan perhatian dan ditangani sebaik mungkin oleh perbadanan,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada bekas Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail yang telah membawa banyak perubahan dan kemajuan kepada Putrajaya menerusi pelaksanaan pelbagai ini­siatif dan program sepanjang mengetuai perbadanan itu.

“Amanah ini amat berat untuk dipikul tetapi saya yakin dengan bantuan semua pihak dan bekerja sebagai satu pasukan, kita mampu mencapai hasrat yang ditetapkan,” katanya.

Aminuddin yang sebelum ini merupakan Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan dilantik sebagai Presiden PPj yang baharu bagi menggantikan Hasim yang tamat perkhidmatannya pada 31 Julai lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini