Amanah Raya teruskan program Ziarah Kasih bersama Badan Amal Nur Zaharah - Utusan Malaysia

Amanah Raya teruskan program Ziarah Kasih bersama Badan Amal Nur Zaharah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG 6 Okt. – Selepas melaksanakan Program Ziarah Kasih bersama Pusat Jagaan Mahmudah di Kuala Lumpur pada April lalu, Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bersama Penghuni Badan Amal Nur Zaharah di Janda Baik, Bentong di sini hari ini.

Sempena program itu, seramai 70 warga kerja Amanah Raya mengadakan gotong royong di pusat jagaan berkenaan bermula pukul 8.30 pagi.

Pengarah Urusan Amanah Raya, Adenan Md. Yusof berkata, melalui program itu, pihaknya menyumbangkan wang tunai sebanyak RM15,000 selain peralatan kepada penghuni di pusat berkenaan.

“Kami mengharapkan program CSR ini menjadi satu tradisi di Amanah Raya khususnya penglibatan warga kerja Kumpulan Amanah Raya dalam memberikan bantuan kepada yang memerlukannya.

“Melalui program ini, kami berharap sumbangan yang diberikan sekurang-kurangnya menjadi pemangkin semangat kepada anak-anak ini untuk terus belajar dengan bersungguh-sungguh,”katanya dalam sidang akhbar pada program berkenaan.

Yang hadir sama Pengerusi Badan Amal Nur Zaharah, Nik Ahmad Ryad Nik Mohamad.

Menurut Adenan, berdasarkan kepada kejayaan program itu dalam membantu golongan sasar, pihaknya berhasrat menjadikannya sebagai program tahunan Amanah Raya.

Beliau memberitahu, sebanyak tiga program dirancang tahun ini yang mana program terakhir tahun ini dijangka diadakan di Terengganu melibatkan golongan yang memerlukan bantuan.

Sementara itu, Nik Ahmad Ryad berkata, pihaknya menyambut baik program tersebut yang dapat memberi manfaat kepada kira-kira 47 penghuni pusat berkenaan pada masa ini.

“Saya berterima kasih kepada Amanah Raya. Bantuan diberikan dapat membantu pengurusan Badan Amal Nur Zaharah yang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM40,000 setiap bulan,”ujarnya.

– UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN