KUALA LUMPUR 18 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan langkah kerajaan yang tidak menyebut aku janji Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRI-14) dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tindakan tersebut sekali gus menunjukkan apa yang pernah dijanjikan PH semasa kempen PRU-14 tidak akan ditunaikan.
“Maknanya segala aku janji kepada rakyat tidak disebut langsung dalam pembentangan tersebut.

“Maknanya apa-apa yang telah dijanjikan itu pasti tidak akan ditunaikanlah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Dalam pada itu, Najib memberitahu, Kajian Separuh Penggal RMK-11 dilihat tiada sebarang perkembangan baharu, sebaliknya hanya meneruskan apa yang diusahakan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Beliau turut mempertikaikan dakwaan kerajaan PH sebelum ini bahawa BN boros sedangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkurangan daripada 54 kepada 50 peratus.
“Macam mana kita boleh jadi kerajaan boros kalau hutang kita semakin menguncup dan defisit fiskal kita pun sudah berkurangan dalam tempoh tersebut?
“Jadi ada beberapa kenyataan yang bersifat label tapi tak disokong dengan data yang dimuatkan dalam buku dibentangkan oleh kerajaan,” katanya.
Walau bagaimanapun, Najib mengalu-alukan langkah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung cadangan pembiayaan dana politik yang lebih telus dan adil.
“Cadangan pembiayaan dana secara lebih telus, kita telah lama laksanakan tapi sekarang sudah ada penegasan oleh Perdana Menteri, jadi saya mengalu-alukan,” katanya.










