Aktiviti keganasan - Pusat pengajian Perlis persendirian, tiada kaitan MAIPs - Mufti Perlis - Utusan Malaysia

Aktiviti keganasan – Pusat pengajian Perlis persendirian, tiada kaitan MAIPs – Mufti Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN, Jordan 6 Okt. – Pusat pengajian pelajar warga negara asing yang ditahan di Perlis baru-baru ini, kerana disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan, merupakan pusat pengajian persendirian.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menegaskan, sehubungan itu, pusat tersebut tiada kaitan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Katanya, pihak MAIPs telah mengambil langkah sewajarnya dan sudah beberapa kali merujuk kepada polis status pusat-pusat pengajian di Perlis termasuklah pusat tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah Ketua Polis Perlis sendiri adalah ahli majlis MAIPs dan perkara tentang isu keselamatan sering ditanya semasa mesyuarat. Sehingga kini tiada laporan diberikan polis tentang isu keselamatan di mana-mana pusat pengajian di Perlis.

“Sehubungan itu, kita ingin menegaskan bahawa tiada masalah untuk polis menahan mana-mana pelajar (Perlis) jika terbukti terlibat dalam kegiatan keganasan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd. Asri memberitahu, selain daripada itu, pihaknya telah beberapa kali melawat sendiri dan mendapatkan maklumat daripada pentadbir pusat persendirian berkenaan.

“Langkah itu bagi memastikan tiada unsur-unsur pengganas dalam institusi berkenaan. Kita mengakui wujud fahaman yang agak keras oleh beberapa pelajarnya sebelum ini tetapi ia bersifat peribadi dan tidaklah menjurus kepada keganasan,” katanya lagi.

Beliau seterusnya secara peribadi meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengecualikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawang­an Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam mana-mana siasatan terhadap keganasan di Perlis.

Semalam, PDRM dalam satu kenyataan memaklumkan seramai lapan lelaki termasuk tujuh warga asing ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM dalam operasi di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, pada 24 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis, sama ada sebagai pelajar, bekas pelajar atau bekas tenaga pengajar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini