Akhirnya dapat air bersih - Utusan Malaysia

Akhirnya dapat air bersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN terpisah oleh Laut China Selatan, namun nasib golongan kurang berkemampuan di Sarawak tidak pernah dilupakan.

Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Etiqa Insurans & Takaful baru-baru ini mengunjungi Kampung Bungan Besar yang terletak kira-kira 200 kilometer dari pusat bandar Sibu bagi membantu masyarakat setempat yang memerlukan menerusi Projek Bekalan Air Bersih Untuk Komuniti.

Kampung itu adalah perkampungan di pedalaman Sarawak yang terdiri daripada penduduk pelbagai kaum dan agama dengan majoritinya adalah daripada suku kaum Melanau dan minoritinya ialah kaum Iban.

Pengangkutan air iaitu bot adalah kenderaan utama digunakan untuk sampai ke perkampungan ini selain daripada jalan darat yang mengambil masa lebih lama kerana faktor muka bumi dan jalan tidak sempurna.

Rata-rata penduduknya adalah petani dan bekerja sendiri dengan mencari hasil hutan serta menangkap ikan serta udang di Sungai Batang Igan. Kepercayaan agama juga berbeza mengikut pegangan keluarga masing-masing.

TAKUNG AIR HUJAN

Sehingga kini penduduk Kampung Bungan Besar, Batang Igan, Sibu Sarawak masih menggunakan kaedah menakung air hujan untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan harian.

Kaedah tradisional itu digunakan oleh penduduk kampung sejak 40 tahun lalu, tetapi masih tidak dapat menyelesaikan masalah air yang dihadapi mereka khususnya apabila musim kemarau panjang.

Sebagai alternatif, penduduk terpaksa menggunakan air sungai yang tidak ditapis dan ia sangat berisiko kerana faktor kebersihan, sekali gus mendedahkan kepada pelbagai jenis penyakit kulit selain risiko keracunan serta wabak penyakit berjangkit.

Selain itu, populasi buaya yang banyak di sungai-sungai kecil berdekatan juga membuatkan penduduk terpaksa berhadapan dengan risiko serangan buaya sewaktu sedang mandi dan membasuh pakaian di tepi sungai.

Keadaan ini menyebabkan kehidupan penduduk terancam dan menyukarkan aktiviti harian mereka.

Melihat permasalahan ini, IAM dan Etiqa mengambil satu inisiatif bagi membantu komuniti setempat.

Projek komuniti di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Etiqa ini bertujuan membantu meringankan beban kesusahan penduduk dalam mendapatkan bekalan air bersih untuk aktiviti harian mereka. Projek istimewa ini mendapat pembiayaan daripada Etiqa dan dilaksanakan dengan kerjasama IAM.

Sehubungan itu, IAM baru-baru ini mengadakan majlis perasmian projek bekalan air bersih itu yang bakal dilaksanakan di Kampung tersebut. Perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Sarawak, Etiqa Insurans & Takaful, Wong Chee Tung.

Yang turut hadir, Presiden IAM, Zawahir Abdullah dan Ketua Kampung Bungan Besar, Sulaiman Hashim. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran penduduk setempat.

SELESAI MASALAH

Menurut Zawahir, projek yang dilaksanakan itu bakal merungkai permasalahan utama yang dihadapi penduduk di perkampungan itu, di samping meringankan beban mereka daripada menggunakan kaedah lama untuk mendapatkan sumber air bersih.

“Uniknya, projek ini akan dilaksanakan secara bergotong-royong bersama penduduk setempat. Penyambungan paip akan dibuat bagi tujuan menyedut air dari sungai Batang Igan untuk disambungkan kepada pam elektrik dan sistem penapisan air bersih sebelum disalurkan semula ke tangki-tangki sedia ada bagi kegunaan penduduk kampung.

“Projek ini melibatkan penapisan air secara berkelompok di mana setiap sistem pam dan sistem penapisan akan dikongsi oleh tiga buah rumah. Kaedah ini digunakan bagi tujuan menjimatkan kos serta risiko kerosakan berbanding menggunakan sistem penapisan air membran (Membrane Water Treatment System) yang menelan belanja ratusan ribu ringgit bagi satu unit.

“Pelaksanaan projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 900 penduduk setempat termasuk komuniti di rumah panjang. Projek bekalan air bersih untuk komuniti ini dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin usaha dilakukan oleh pihak Etiqa dapat memberi kesan positif dan bermakna buat penduduk kampung itu apatah lagi mereka bakal menikmati sumber air bersih yang berpanjangan.

Sementara itu, Chee Tung berkata, penduduk kampung itu boleh menarik nafas lega kerana perlaksanaan projek itu bakal menyelesaikan masalah mereka hadapi selama ini.

“Saya difahamkan rata-rata penduduk di sini adalah petani dan nelayan dan mereka pasti menghadapi kesukaran untuk melaksanakan aktiviti harian mereka.

“Projek ini merupakan satu lagi bukti komitmen kami ke arah kehidupan masyarakat sihat di luar bandar melalui slogan kami iaitu Etiqa Cares,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN