AIT P. Pinang sasar jualan RM40,000 - Utusan Malaysia

AIT P. Pinang sasar jualan RM40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 7 Okt. – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri menyasarkan perolehan ku­tipan hasil jualan sebanyak RM40,000 pada Karnival Industri Asas Tani (IAT) peringkat negeri yang bermula kelmarin sehingga esok dengan penyertaan seramai 20 usahawan yang menjual lebih daripada 30 jenis produk hasil laut dan asas tani.

Pengarahnya, Nik Rashid Nik Jusoh berkata, sasaran itu dibuat selepas karnival yang sama tahun lepas menyaksikan sebanyak RM30,000 berjaya dikutip dengan penglibatan seramai 15 usahawan LKIM negeri yang menjual lebih daripada 20 jenis produk hasil laut.

Beliau berkata, secara ke­seluruhannya ketika ini, LKIM negeri telah berjaya membim­bing seramai 26 usahawan khususnya dalam bidang pempro­sesan hasil ikan.

“Daripada jumlah itu, seramai tujuh orang berjaya mendapatkan pensijilan MeSTI (Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) dan sijil halal.

“Pemilihan usahawan itu dibuat oleh LKIM ibu pejabat (Kuala Lumpur) dengan mendapat recommendation (pe­nge­syoran) daripada LKIM ne­geri melalui beberapa proses tapisan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Karnival IAT peringkat negeri yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin di Mydin Bukit Mertajam di sini semalam.

Turut berlangsung pada majlis yang sama ialah pe­nyampaian sumbangan bantuan bencana alam dan kebajikan kepada 22 nelayan bernilai RM32,600.

Selain jualan dan promosi produk, karnival tersebut turut diserikan dengan slot ce­ramah, pertandingan mewarna dan Mister Badut, pertandingan serta demonstrasi memasak, persembahan buskers dan sebagainya.

Dalam pada itu,Afif berkata, kerajaan negeri kini dalam usa­ha untuk meningkatkan pemberian bantuan pinjaman mikro kredit kepada golongan usahawan terutama belia bagi menggalak serta mengembangkan perniagaan mereka pada masa depan.

Sehubungan itu beliau berharap para usahawan merebut peluang tersebut dengan sebaik-baiknya.

“Ketika ini, seramai 110 usahawan muda telah menerima bantuan tersebut dan terbaharu, kita telah luluskan lagi sembilan permohonan untuk tujuan yang sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×