JIKA sebelum ini mereka menggunakan air tandak sebagai sumber air, lebih 800 orang individu di tiga kampung di Kuala Krai, Kelantan kini mendapat bekalan air bersih di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Maybank Islamic Berhad.
Projek yang dinamakan Wash (bekalan air, sanitasi dan kebersihan) yang baru mencecah setahun dan bernilai RM1.1 juta itu memberi manfaat besar kepada 177 keluarga asnaf di Kampung Sungai Tias, Kampung Bukit Pagar dan Kampung Sungai Kamal.
Mereka mendapat air bersih daripada tiga buah tangki yang dibina di setiap kampung tersebut, yang mana setiap tangki dapat menampung 4,000 galon air.
Maybank Islamic telah memilih organisasi bukan kerajaan (NGO), Mercy Malaysia sebagai rakan pelaksana program ini, yang pada awalnya melibatkan penggerudian telaga dalam, pemasangan tangki air dan pam, pemasangan saluran paip bekalan air, pembinaan paip air, pembaikan sistem suapan graviti dan pemasangan sistem penuaian air hujan.
Selain menyediakan bekalan air bersih melalui telaga tiub dan tandas, Mercy Malaysia dan Maybank Islamic juga telah menjalankan kursus mengenai kesiapsagaan bencana dan keselamatan air.
Kursus berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit bawaan air, cara mengenal pasti penyakit, dan lain-lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican dalam ucapannya pada majlis penyerahan Program Wash di Kuala Krai baru-baru ini, berkata, program ini bertujuan untuk memperbaiki keadaan kesihatan penduduk luar bandar, di samping meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan penduduk setempat.
“Matlamat utama kami ialah untuk membantu meningkatkan kesihatan dan sosioekonomi masyarakat di sini dengan mengurangkan insiden penyakit air dan sanitasi yang berkaitan dengan amalan air bersih, sanitasi dan kebersihan yang mampan,” katanya.
Tambahnya, walaupun kesan langsung program ini dikaitkan dengan kesihatan dan kebersihan, terdapat juga kesan-kesan lain ke atas keadaan ekonomi dan alam sekitar penduduk kampung.
“Kita semua sedia maklum dalam mencari pendapatan isi rumah, kita perlu memberi perhatian ke atas tahap kesihatan kita. Apabila pencari nafkah tidak sihat atau sakit disebabkan pencemaran air, produktiviti beliau akan terjejas dan mungkin juga akan menyebabkan sebahagian besar pendapatan akan dihabiskan untuk kos perubatan,” kata Mohamed Rafique.
Katanya, Mercy Malaysia dilantik sebagai rakan NGO kerana pengalaman dan kepakaran dalam bidang ini.










