PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada pukul 3.15 petang di ibu pejabatnya hari ini.
SPRM dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, penahanan tersebut berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.
“Beliau ditahan selepas SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara,” ujarnya.
Susulan itu, SPRM berkata, Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Penegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok pukul 8 pagi untuk pertuduhan. – K! ONLINE









