PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan ditahan sebelum dibawa ke mahkamah untuk didakwa esok.
Khabar angin tersebut mula tersebar dalam kalangan petugas media yang berkumpul di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak pukul 8 pagi tadi.
Bagaimanapun, pihak media masih menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh agensi penguatkuasaan tersebut.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiba pada pukul 9.20 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih diikuti dengan kenderaan anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan abang tiri kepada Ahmad Zahid iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.
Difahamkan Nurulhidayah dan Mohamad Nasaee turut dipanggil oleh pihak SPRM bagi membantu siasatan.
Pada Julai lalu, Ahmad Zahid dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM membabitkan siasatan penyelewangan dana yayasan dikaitkan dengan beliau iaitu Yayasan Akal Budi yang digunakan bagi menjelaskan hutang kad kredit beliau.
Dalam pertemuan lain, beliau turut disiasat berkaitan dakwaan beliau bertemu dengan kerabat Arab Saudi yang dikatakan memasukkan wang RM2.6 bilion ke akaun perdana menteri sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak.
Turut kelihatan di bangunan Ibu Pejabat SPRM ialah sekumpulan kecil penyokong yang hadir untuk memberi sokongan walaupun Ahmad Zahid sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan supaya tiada sebarang perhimpunan diadakan. – K! ONLINE











