KUALA LUMPUR 18 Okt – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masih kekal sebagai Presiden UMNO dan Ketua Pembangkang sekiranya beliau didakwa kerana kesalahan yang disabitkan ke atasnya boleh diikat jamin.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, situasi sama juga bagi jawatan Ahmad Zahid sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Walau bagaimanapun kata beliau, terlalu awal untuk kesemua jawatan itu diputuskan.
“Saya rasa terlalu awal kerana beliau belum lagi didakwa dan kalau didakwa dijangka bersifat bailable offence (kesalahan boleh dijamin).
“Jadi kedudukan beliau tidak terjejas. Ya, masih Presiden UMNO,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi laman sosial Telegram memaklumkan Ahmad Zahid akan ditahan di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini dan didakwa esok. – UTUSAN ONLINE.










