KUALA LUMPUR 18 Okt. – Siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipercayai bertujuan untuk memfitnah dan memalukan beliau.
Isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis mendakwa, usaha tersebut juga mahu mematahkan semangat serta melenyapkan parti UMNO dalam lipatan sejarah negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada kesemua ahli UMNO untuk bersatu memberi sokongan dan bersama Ahmad Zahid dalam apa jua keadaan.
“Jangan kita rosakkan martabat Melayu, ayuh bersama Presiden UMNO yang kita kasihi, Beliau sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara, beliau difitnah dan dimalukan.
“Para pejuang parti keramat UMNO, sedarlah jangan sampai maruah tergadai dan kita jadi sebagai alat oleh mereka yang berjiwa dan bernafsu besar,” katanya dalam warkah untuk rakyat Malaysia dan penyokong UMNO, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










