Ahmad Zahid didakwa hari ini - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid didakwa hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 18 Okt. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bakal berhadapan kira-kira 45 pertuduhan berjumlah lebih RM10 juta di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM dalam satu kenya­taan memberitahu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk akan dituduh di Mahkamah Se­syen Kuala Lumpur, pada pukul 8 pagi esok.

Menurut kenyataan itu, SPRM telah menahan Ahmad Zahid berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan sebuah dana yayasan.

“Penahanan itu dibuat pada pukul 3.15 petang di Ibu pejabat SPRM. Perkara itu dibuat setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu tiba di Ibu pejabat SPRM pada pukul 3 petang dengan memakai baju batik bercorak warna-warni dan sempat melambaikan tangan sambil melemparkan senyuman kepada para wartawan serta jurugambar.

Semalam beliau menerima notis untuk hadir ke SPRM dipercayai berhubung siasatan penyelewe­ngan dana yayasan milik keluar­ganya iaitu Yayasan Akal Budi.

Pada minggu lalu, beliau dipanggil memberi keterangan sebanyak tiga kali berturut-turut selain untuk kali pertama dan kedua pada 2 serta 3 Julai lalu.

Turut dipanggil memberikan keterangan membabitkan kes sama ialah adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi @ Hamidi serta anak sulung Ahmad Zahid iaitu Nurulhidayah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN