SEREMBAN – Ahli UMNO diminta supaya bertenang dan mengambil pendekatan rasional dalam berhadapan spekulasi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan ditahan dan didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ahli UMNO tidak boleh terburu-buru dalam membuat kenyataan dan tindakan berikutan perkhabaran tersebut.
“Saya dan kepimpinan UMNO percaya perkara ini mesti dilihat secara terbuka dan objektif. Ia tidak seharusnya dispekulasi dan dijadikan modal untuk menabur persepsi yang salah dan tidak berasas.
“Kita mesti menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan bahawa ia akan dilunaskan dengan cara yang selari dan bersesuaian dengan keluhuran undang-undang dan sifat Malaysia sebagai negara hukum,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohamad berkata, kepimpinan UMNO bagaimanapun memberi jaminan penahanan itu tidak akan melemahkan UMNO meneruskan agenda pemulihan yang dilakukan dalam parti.
Kata beliau, khidmat bakti UMNO kepada rakyat malah tidak akan berhenti dan terganggu disebabkan perkara itu.
Menurut beliau,, Majlis Tertinggi (MKT) UMNO akan mengadakan mesyuarat segera untuk membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam bagi memutuskan hala tuju dan tindakan selanjutnya.
Menurut beliau, keputusan yang akan dibuat oleh MKT UMNO akan menjadi pendirian dan panduan untuk semua ahli parti.
“Saya dan rakan-rakan dalam UMNO menzahirkan sokongan dan setia kawa terhadap Ahmad Zahid dan keluarganya dalam saat yang mencabar seperti sekarang.
“Saya pasti akan hadir petunjuk dan kebenaran yang selayaknya dari Allah S.W.T dalam segala hal yang berlaku ini jika kita bersabar dan bijaksana dalam segala tindakan kita,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Ahmad Zahid dijangka akan ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini petang ini sebelum didakwa di mahkamah esok.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi laman sosial Telegram. – K! ONLINE










