KOTA BHARU 18 Okt. – Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Jerantut bukan sahaja mempertahankan kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut dalam pertandingan Kreativiti, Inovasi dan Teknologi (kristek) 2018 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu di sini hari ini.
Pusat itu turut menggondol Anugerah Inovasi Paling Bernilai dan Anugerah Emas.
Pasukan Adtec tersebut dibarisi oleh dua pelajar lelaki dan seorang penuntut perempuan mempertaruhkan produk inovasi V-Smart yang dicipta khas untuk memegang benda kerja berbentuk silinder dan segi empat pada ragum yang diguna pakai dalam pelbagai sektor industri di negara ini.
Pasukan itu diketuai oleh Penolong Pegawai Latihan Vokasional Adtec, Mohd. Muliady Masenin dan disertai pelajar Diploma Teknik Pembuatan, Mohd. Sharil Izuddin Mat Yasin, 23; Mohd. Syakir Farhan Tajuddin, 21, dan Noor Nashriyah Noor Hisham, 22.
Mereka membawa pulang wang tunai RM800, plak emas serta sijil penyertaan.
Menurut Mohd. Muliady, idea untuk menghasilkan produk tersebut bermula sejak enam bulan lalu yang bertujuan memudahkan proses penukaran setiap aksesori yang diguna pakai dalam industri automotif dan kimpalan dengan cepat apabila menggunakan sistem magnet tanpa perlu menukar jenis ragum.
“Produk inovasi yang diberi nama aksesori ‘vise jaw’ ini mempunyai skop pemasaran yang positif yang mana kami menyasarkan penggunaan di seluruh industri tempatan mahupun luar negara yang menggunakan ragum meja dan ragum mesin.
“Kami juga menyasarkan prospek pemasaran produk ini keseluruh pusat latihan yang menawarkan kursus bidang Teknologi Pembuatan, Kimpalan, Perabot, Automatif dan Polimer,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kristek 2018 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia, Zaihan Shukri dan Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad.
Pertandingan yang memasuki edisi keempat itu disertai oleh seramai 45 pasukan dari seluruh institusi yang bernaung di bawah Jabatan Tenaga Manusia di Pantai Timur. – UTUSAN ONLINE









