KANGAR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis berpendapat keputusan kerajaan untuk membenarkan pokok ketum dijadikan sebagai tanaman komersial tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Timbalan Pengarah AADK Perlis, Mashayani Md. Arif berkata, daun pokok itu boleh disalahgunakan untuk dijadikan air ketum yang dicampur dengan ubat batuk, minuman berkarbonat dan minuman kultur yang mampu menjejaskan kesihatan peminumnya.
“Di Perlis banyak kes melibatkan kes air ketum yang melibatkan pelbagai campuran dan sukar untuk mengesannya kerana tidak boleh dikesan melalui ujian urin.
“Majoriti peminumnya ialah generasi belia malah ada dalam kalangannya merupakan pelajar sekolah menengah.
“Tabiat ini boleh menjejaskan masa depan mereka,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Kosmo! Online melaporkan hari ini, polis Perlis membantah keputusan kerajaan untuk membenarkan pokok ketum dijadikan sebagai tanaman komersial kerana ia bakal mengakibatkan lebih rakyat Malaysia khayal meminum air ketum sekali gus merosakkan masa depan generasi muda.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, pihaknya khuatir pelbagai pihak akan menyalahgunakan tanaman herba itu kerana ia boleh dicampurkan dengan ubat nyamuk bagi menguatkan rasa ketagih dan khayal kepada penagihnya.
Beliau berkata, pihaknya juga bimbang langkah kerajaan itu akan menyuburkan lagi kes penyeludupan daun ketum ke Thailand yang kini berlaku hampir setiap hari.
Daun ketum dijual pada harga RM80 sekilogram di negara tersebut. – K! ONLINE









