68 positif dadah ditahan dalam parti persendirian - Utusan Malaysia

68 positif dadah ditahan dalam parti persendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Tindak tanduk sebilangan remaja berhibur sambil mengambil dadah membawa padah apabila 68 individu ditahan akibat positif dadah dalam tiga serbuan di sekitar Brickfields serta Dang Wangi di sini Sabtu dan Ahad lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan antara pukul 1.30 pagi dan 3.30 pagi itu, kesemua yang ditahan melibatkan 28 lelaki dan 18 wanita dengan tiga daripada mereka merupakan remaja bawah umur terdiri daripada dua lelaki bersama seorang perempuan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kondominium di Jalan Cendana, pihaknya menahan sembilan lelaki dan lima perempuan berusia antara 20 hingga 25 tahun.

“Hasil daripada saringan air kencing, kita dapati lima lelaki serta tiga perempuan didapati positif dadah jenis methaphetamine dan THC. Tiga daripada mereka merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan seorang lagi pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai serbuan kedua di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, Mazlan memaklumkan seramai sembilan lelaki dan empat perempuan dengan dua daripada mereka remaja bawah umur ditahan pada pukul 3.30 pagi, Ahad lalu.

Jelasnya, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 17 hingga 21 tahun didapati positif dadah jenis methaphetamine, ketamin dan THC.

“Dalam serbuan di kondominium tersebut, kita menemukan ganja seberat lima gram dan lima biji pil ekstasi,” ujarnya.

Manakala serbuan terakhir di tiga buah kondominium di Jalan Abdullah Hukum, Mazlan memberitahu, 16 lelaki serta empat wanita berusia dalam lingkungan 16 hingga 35 tahun ditahan selepas didapati positif dadah methaphetamine dan THC.

Menurut beliau, dua daripada mereka adalah remaja bawah umur dengan seorang daripada mereka adalah pelajar sekolah.

“Kesemua yang ditahan direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ingin diingatkan bahawa polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana pemilik kondominium dan pihak terlibat dalam penganjuran parti persendirian yang menjurus kepada parti liar melibatkan penyalahgunaan dadah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN