KUALA NERUS – Seramai 633 mahasiswa daripada beberapa buah universiti awam di seluruh negara dipilih menyertai APR Associate Trainer (AAT) kendalian Akademi Pilihan Raya (APR) sejak program tersebut diperkenalkan awal tahun ini.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, projek bitara itu bertujuan melahirkan para penceramah demokrasi yang terlatih dan berkualiti untuk bersama-sama APR bagi menyampaikan maklumat mengenai sistem pilihan raya.
“Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merangkumi bilangan sukarelawan paling tinggi menyertai program AAT iaitu seramai 73 orang manakala bakinya merupakan penuntut dari universiti-universiti lain.
“Kita akan meneruskan usaha ini dan menarik lebih ramai penyertaan golongan mahasiswa sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 selain meluaskannya ke peringkat sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pendidikan Pengundi di Dewan Sultan Mizan, UMT di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali.
Jelas Othman, pelajar yang menyertai program tersebut harus menunjukkan semangat kesukarelawanan dan komitmen tinggi selepas melalui proses saringan dijalankan oleh pihak APR.
“Pelajar yang dilatih menerusi program AAT ini bukan sahaja akan bersama-sama warga APR mendidik masyarakat mengenai erti demokrasi dan sistem pilihan raya malah mereka turut dibawa sebagai pemerhati ketika berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.
“Pelajar-pelajar tersebut dilihat begitu bersemangat dan menunjukkan minat yang tinggi ketika diberi peluang untuk menyaksikan proses pilihan raya itu berlangsung,” ujarnya. – K! ONLINE










