MELAKA 13 Okt. – Kira-kira 5,000 pengunjung memeriahkan program Cuti-cuti Riuh Sakan@Melaka Wonderland anjuran Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di Taman Tema Melaka Wonderland, Ayer Keroh di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Wonderland, Seow Cheng Swee berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan pengunjung terutama sempena cuti hujung minggu.
Katanya, program julung kali itu turut dimeriahkan dengan Mini Konsert@Melaka Wonderland yang membariskan artis-artis terkenal tanah air termasuk Sufian Suhaimi, Ani Mayuni, Roslan Shah, Zynakal dan Adzrin.
“Orang ramai mula memenuhi taman tema ini seawal pukul 9 pagi untuk merasai kemeriahan program serta peluang bersemuka dengan artis kesayangan mereka.
“Kita harap program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang dan mahu kerjasama erat dengan Kumpulan Utusan diteruskan,” katanya ketika ditemui di sini.
Yang hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Mohd. Azmi Othman; Pengurus Kanan Undang-undang/Kesetiausahaan Kumpulan Utusan, Hanisah Hamzah; Pengurus Pengurusan Jenama Kumpulan Utusan, Hazura Ahmad Halil dan Pengurus Kanan Mediamony Sdn. Bhd., V. Kumar.
Selain menyaksikan persembahan artis, pengunjung turut diberi peluang memenangi hadiah menarik dalam cabutan bertuah, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan swafoto, karaoke santai dan mini studio.
Tambah Cheng Swee, pihaknya berharap lebih ramai pengunjung hadir ke taman tema tersebut sempena musim cuti sekolah atau hujung minggu kerana terdapat beberapa tarikan baharu akan diperkenalkan kepada pengunjung tidak lama lagi.
“Kita juga merancang menganjurkan program Countdown 2019 pada 31 Disember ini dengan pelbagai aktiviti menarik,” ujarnya.











