PASIR PUTEH 13 Okt. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta empat lagi kementerian menubuhkan jawatankuasa khas bersama dalam meningkatkan penguatkuasaan bagi mencegah nelayan asing yang menceroboh serta mencuri hasil laut negara di negara ini.
Timbalan Menterinya, Sim Tza Tzin berkata, jawatankuasa khas itu melibatkan Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan.
“Setiap kementerian masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab bagi mengekang dan membanteras pencerobohan termasuk kes penyeludupan.
“Dengan cara ini, perairan kita dapat dikawal dengan lebih ketat dan berkesan,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke Pelabuhan Perikanan Tok Bali dan mengadakan majlis dialog dengan nelayan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Badrul Hisham Mohamad; Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jamaluddin Othman dan Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Tan Geik Hong.
Tza Tzin berkata, sebagai contoh, Kementerian Luar akan memainkan peranan dengan membangkitkan isu tersebut kepada negara asal nelayan yang dipercayai menceroboh perairan Malaysia.
Sementara itu katanya, KDN dan Kementerian Pertahanan pula akan menggunakan aset masing-masing dalam aspek penguatkuasaan di laut dan menahan penceroboh.
“Gabungan kerjasama kelima-kelima kementerian ini akan berusaha mencapai kata sepakat mencari kaedah yang lebih berkesan untuk penguatkuasaan di lautan terutama di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE).
“Adalah tidak adil kekayaan hasil laut negara dikaut dengan sewenang-wenangnya oleh rakyat asing. Selain itu, pencerobohan itu juga menyebabkan jumlah pendaratan ikan di pelabuhan perikanan di seluruh negara semakin berkurangan,” katanya.
Tza Tzin dalam pada itu berkata, pihaknya bercadang meminda Akta Perikanan bagi meningkatkan hukuman termasuk denda yang lebih berat terhadap nelayan asing yang menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara secara haram. – UTUSAN ONLINE











