PUTRAJAYA 17 Okt. – Seramai 41 orang pengetua berprestasi cemerlang menjadi kumpulan pertama untuk ditempatkan di sekolah-sekolah harapan di seluruh negara bagi meningkatkan prestasi sekolah berkenaan.
Kumpulan sulung dalam projek di bawah Kementerian Pendidikan itu akan ditempatkan selama tiga tahun di sekolah-sekolah yang memerlukan perhatian dan bantuan dalam aspek kepemimpinan dan pengurusan sekolah.

Majlis penyerahan watikah Program Pelonjakan Kepemimpinan Sekolah (ProPeks) Kohort 2018 kepada pengetua-pengetua terbabit telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam satu majlis di Genting Highlands, Pahang hari ini.
Menurut Maszlee, penempatan itu merupakan amanah daripada Kementerian Pendidikan kepada pemimpin-pemimpin sekolah yang disifatkan sebagai ‘hero anak bangsa’ untuk membawa perubahan kepada sekolah-sekolah berprestasi rendah.
“Anda adalah hero-hero yang bakal melonjakkan sekolah-sekolah berprestasi rendah dan melahirkan hero-hero yang cemerlang untuk negara.
“Tahniah kepada para pengetua dan pensyarah bimbingan yang diberi mandat menjayakan Program Pelonjakan Kepemimpinan Sekolah, Kementerian Pendidikan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sepanjang tempoh penempatan, pengetua-pengetua terbabit akan dibantu oleh pensyarah bimbingan dari Institut Aminuddin Baki (IAB) dan program perintis yang melibatkan sembilan pengetua berprestasi cemerlang telah memulakan perkhidmatan sejak tahun lalu.
ProPeks yang mendukung aspirasi Anjakan 5 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 adalah bagi memastikan setiap sekolah dipimpin oleh pemimpin sekolah yang berprestasi tinggi dalam usaha kritikal untuk setiap anak-anak mendapat pendidikan berkualiti.
Jelas Maszlee, jatuh bangun sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada kualiti dan kecekapan ahli-ahlinya, malahan yang lebih penting ialah kualiti kepemimpinan organisasi tersebut.
“Percayalah bahawa anda merupakan individu terbaik yang dikenal pasti mampu melakukan tugas yang mencabar ini,” katanya.











