KOTA BHARU – Kesemua 40 pelajar dan pensyarah daripada Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berdepan detik cemas dalam kejadian jeti runtuh di Pulau Anak Tikus, Langkawi pada Isnin lepas selamat tiba di Kampus UMK Jeli, semalam.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr. Zaliman Sauli berkata, kesemua mereka merupakan ahli Kelab Eksplorasi (Geosains) yang menyertai program ‘International Geo Exploration de Langkawi’ bagi melakukan penyelidikan.
“Dalam kejadian itu tiada pelajar yang cedera parah dan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar,” katanya selepas merasmikan Majlis Makan Malam bersempena Perasmian ‘Corporate Director Training Programme’ (CDTP) di sini, malam tadi.
Zaliman berkata, ekspedisi kajian yang merupakan silibus pelajar tahun tiga jurusan Geosains itu yang dijadualkan berakhir esok dihentikan dan pelajar diarahkan pulang ke kampus bagi mengelakkan trauma terhadap mereka yang terlibat. – Bernama










