JOHOR BAHRU 2 Okt. – Kira-kira 30 murid terselamat apabila sebuah bas sekolah yang dinaiki mereka terbakar di Jalan Skudai, Kampung Laut berhampiran Skudai Parade, hari ini.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Khairul Azhar Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pukul 2.15 petang dan sebuah jentera dengan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Berdasarkan keterangan pemandu berusia 24 tahun, bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Senai ke pusat bandar raya ini.
“Walau bagaimanapun, pemandu menyedari asap keluar dari bahagian enjin belakang bas sebelum dia bertindak menghentikan bas berkenaan berhampiran sebuah kuarters kerajaan berhampiran lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.
Khairul Azhar berkata, pemandu bas dan kesemua murid berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun bas tersebut terbakar 90 peratus.
“Apabila pihak bomba sampai api telah pun marak dan operasi memadamkan kebakaran berakhir pukul 3.07 petang.
“Punca sebenar kejadian masih disiasat oleh bahagian forensik bomba,” katanya.











