SEPANG 17 Okt. – Pengendali skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak meletakkan harapan tinggi kepada gandingan ‘2A’ Akhyar dan Akif yang telah menimba pengalaman bersama skuad senior untuk membimbing rakan sepasukan sepanjang kempen Kejohanan B-19 AFC 2018 yang akan bermula esok.
Kejohanan di Indonesia itu menyaksikan Malaysia diundi di dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China. Skuad Hodak akan memulakan kempen mereka dengan menentang Arab Saudi pada Sabtu ini sebelum berdepan Tajikistan pada Selasa dan China pada 26 Oktober.
Malaysia akan menyertai kejohanan yang akan berakhir pada 4 November ini selaku juara Asia Tenggara apabila menewaskan Myanmar 4-3 dalam Kejohanan AFF B-19 Julai lalu, dengan Akhyar Rashid serta pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat menjadi watak penting sepanjang laluan skuad negara untuk menjulang trofi.
Bakat Akhyar yang begitu menonjol telah membuatkan penyerang Kedah itu bersama-sama Nik Akif Syahiran dipanggil oleh jurulatih skuad senior Tan Cheng Hoe untuk membantu Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan Kyrgyzstan.
“Saya percaya semua pemain mahu melakukan yang terbaik termasuk mereka yang telah bersama skuad senior kebangsaan.
“Bagi saya pemain-pemain yang telah bersama skuad senior telah memperoleh pengalaman lebih baik dan akan menjadi kelebihan bagi membantu pasukan dalam kejohanan di Indonesia,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Indonesia.
Hodak juga gembira kerana kesemua 23 pemainnya kini berada pada tahap terbaik dan jurulatih berasal dari Croatia itu yakin dengan kemampuan pasukan kali ini.
“Cuma apa yang saya risaukan ketika ini kebanyakan pemain kita yang bersama skuad senior kebangsaan tidak beraksi selama 90 minit dan saya harap mereka mempunyai keupayaan yang lebih baik apabila beraksi dengan skuad B-19 ini,” katanya.










