KUALA LUMPUR 27 Okt. – Sebanyak 251,782 produk kesihatan yang bernilai RM2.8 juta dirampas kerana melanggar undang-undang dan disyaki mengandungi racun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ubat-ubatan tersebut adalah pil gugur, suntikan vitamin C, antibiotik, steroid dan pelbagai jenis lagi yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
“Selain itu, 339 peniaga yang mengiklankan produk kesihatan dan melanggar undang-undang telah diambil tindakan iaitu sebanyak 403 laman sesawang dan 723 akaun laman sosial disekat atau ditutup.

“Kesemua tindakan ini dilakukan menerusi operasi Operasi Pangea XI yang bermula dari 9 hingga 16 Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Operasi Pangea XI merupakan kerjasama antara Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta CyberSecurity Malaysia.
Dr. Noor Hisham berkata, operasi Pangea XI diselaraskan oleh Polis ntarabangsa (Interpol) bersama 116 negara lain dalam usaha membanteras penjualan ubat-ubatan dan peranti perubatan yang berbahaya kepada pengguna secara dalam talian.
“Operasi kali ini menyasarkan tiga aspek utama iaitu pembekal perkhidmatan internet (ISP), sistem pembayaran elektronik dan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan iaitu kurier dan pos,” katanya.










