2 lelaki ditahan terlibat kes tetak - Utusan Malaysia

2 lelaki ditahan terlibat kes tetak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG 3 Okt. – Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian menetak seorang lelaki yang sedang tidur bersama-sama isterinya di kediaman mereka di Kampung Siam, Layang-Layang dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mangsa berusia 48 tahun ditetak dengan parang panjang di bahagian kepala dan badan hingga mendatangkan cedera parah iaitu keretakan tengkorak kepala dan patah tulang kedua-dua belah bahu kanan dan kiri.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, kedua-dua suspek bertindak meninggalkan rumah mangsa melalui pintu belakang rumah setelah isteri mangsa terjaga dari tidur dan mula menjerit.

“Bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 1 petang, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan dua lelaki berusia lingkungan 29 dan 30 tahun di hadapan sebuah premis perniagaan di Jalan Bunga Raya 1, Pekan Baru, Layang-Layang.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebilah perang berukuran 68.5 sentimeter. Hasil siasatan mendapati punca serangan tersebut adalah bermotifkan dendam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun keseksaan. UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN