SABAK BERNAM – Polis berjaya merampas dadah bernilai lebih RM8,000 selepas menahan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan menerusi Ops Tapis di Jalan Pusara, Sungai Besar, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Islam berkata, dadah yang dirampas masing-masing jenis heroin seberat 169.78 gram dan dadah jenis syabu seberat 16.12 gram.
Katanya, hasil pemeriksaan polis ke atas suspek pertama berusia 26 tahun telah menjumpai tiga peket plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis heroin bernilai RM5,942.
“Semakan pada suspek kedua berusia 40 tahun pula, berjaya menemui tiga peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu bernilai RM2,418,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Nor Azmi, keputusan ujian saringan urin ke atas suspek pertama mendapati dia positif morfin manakala suspek kedua pula positif syabu.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka turut mempunyai rekod lampau kesalahan dadah,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Oktober ini.
“Suspek pertama disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek kedua pula disiasat di bawah Seksyen 39 A(1) akta sama,” jelasnya. – K! ONLINE











