12,672 bakal isi jawatan MPKK - Utusan Malaysia

12,672 bakal isi jawatan MPKK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 30 Okt. – Seramai 12,672 individu akan dilantik menganggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kelantan yang diwujudkan di kesemua 792 kampung di seluruh negeri ini.

HUSAM MUSA

Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pemilihan bagi jawatan tersebut dibuat kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

“Setiap MPKK di kampung-kampung mempunyai 16 anggota dan daripada jumlah itu, 11 anggota dilantik oleh kerajaan negeri manakala lima lagi dilantik oleh Kerajaan Pusat.

“Setiap MPKK akan diberikan geran RM10,000 untuk melaksanakan pelbagai program-program kesejahteraan dan kecantikan kampung,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Santai Petang Bersama Kepimpinan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Husam berkata, MPKK diwujudkan bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dibentuk oleh kerajaan terdahulu.

“MPKK mempunyai peranan sebagai perunding dan pemudah cara di peringkat kampung selain diberi peluang mencadangkan pembangunan projek di tempat masing-masing,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek pembinaan lebuh raya di negeri ini merupakan satu khabar gembira dan rakyat berharap projek tersebut dapat disiapkan secepat mungkin.

Dalam masa yang sama, beliau juga berharap Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa bukan sahaja diperbesar, malah dinaik taraf sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa bagi me­lonjakkan sektor pelancongan negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN