KUALA TERENGGANU 13 Okt. – Kira-kira 12,000 peserta memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri 2018 di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.
Perasmian program yang dimeriahkan dengan pelbagai acara di pantaii peranginan itu disempurnakan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Yang hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.
Bermula pada pukul 8 pagi hingga 3 petang itu, program diisi dengan acara fun ride, fun run sejauh lima kilometer, fun walk tiga kilometer, senamrobik, sukan tradisional dan pertandingan bola sepak Tabika Kemas.
Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, penganjuran Hari Sukan Negara ini mampu memupuk semangat untuk bersukan di samping amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti kecergasan.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha dan menyediakan kemudahan kepada rakyat agar mereka berpeluang terlibat dalam aktiviti sukan.
“Saya secara peribadi menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama meningkatkan inisiatif dalam mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat dan cergas seiring dengan prinsip Terengganu, maju, berkat dan sejahtera,” katanya.
Dalam edisi kali ini, kerajaan negeri menyasarkan penyertaan 72,000 orang di seluruh negeri.- UTUSAN ONLINE











