12 Oktober dengar permohonan kaji semula keputusan rasuah Guan Eng - Utusan Malaysia

12 Oktober dengar permohonan kaji semula keputusan rasuah Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN 3 Okt. – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 12 Oktober ini untuk mendengar permohonan difailkan pengendali laman Facebook Mohsin Abdul Latif untuk mengkaji dan menyemak semula keputusan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon yang tidak diteruskan baru-baru ini.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas Mohsin atau lebih dikenali dengan gelaran “Mamu Parpu” selaku pemohon dalam kes itu memaklumkan peguamnya Gunamalar Joorindajn tidak dapat menghadiri  prosiding pada hari ini.

“Pemohon (Mohsin) baru menghantar surat kepada  mahkamah menjelaskan tarikh pendengaran pada hari ini tidak sesuai dan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu selepas 9 Oktober ini. Kalau ikutkan, saya boleh buang permohonan ini dalam tempoh lima minit sahaja dan tidak perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain. Bagaimanapun pemohon telah mengemukakan surat baharu yang kandungan tidak sama seperti sebelum ini.

“Jika mahkamah tidak memberi penangguhan  nanti akan timbul isu dan kata mahkamah tidak adil kerana tidak berbuat demikian.Justeru mahkamah menetapkan 12 Oktober ini untuk mendengar permohonan ini dan kes  akan tetap berjalan sekiranya peguam gagal hadir,” katanya,

Pada pertengahan September lepas, Mohsin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapat perintah bahawa keputusan berkenaan perlu dikaji semula dan diketepikan atau diubah dan digantikan dengan perintah Guan Eng dan Li Koon dilepaskan tanpa dibebaskan.
Permohonan itu dibuat menurut  Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam permohonan itu, Mohsin menamakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai responden pertama,  Guan Eng  sebagai responden kedua dan Li Koon responden ketiga.

Pada 3 September lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan Guan Eng yang kini Menteri Kewangan dan Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran pasaran berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng, dan peguam Datuk V.Sithambaram serta peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hakim Hadhariah yang turut mendengar kes rasuah berkenaan turut  tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Mohsin ialah seorang daripada saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam kes rasuah tersebut.

Sementara itu, Ramkarpal dan Sithambaran yang mewakili Phang memaklumkan kepada pemberita di luar mahkamah,  pihaknya telah bersedia dengan hujahan bantahan awal bagi permohonan tersebut.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa  Raya Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri.-Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN