110 pemegang stok mini dilantik hadapi banjir - Utusan Malaysia

110 pemegang stok mini dilantik hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 17 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melantik 110 pemegang stok mini barang kawalan di seluruh negeri bagi memastikan bekalan musim tengkujuh mencukupi.

Pengarah KPDNHEP negeri, Khalid Tik berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelan kontingensi semasa banjir agar pengedaran bekalan barang kawalan tidak terjejas serta mudah diperoleh pada harga berpatutan.

Beliau berkata, 110 pemegang stok mini barang kawalan itu merangkumi pembungkus minyak masak; pemborong gula, minyak masak dan tepung gandum; pengedar gas petroleum cecair (LPG); stesen minyak dan pasar raya.

“Pemegang stok mini barang-barang kawalan ini diberi kelonggaran untuk menyimpan barang melebihi 30 peratus daripada kuantiti yang dibenarkan dalam lesen.

“Orang ramai tidak perlu bimbang mendapatkan barang keperluan kerana pihak kami sentiasa memantau dan akan memastikan tiada peniaga dan pengguna mengeksplotasi keadaan selama tempoh bencana banjir berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Beliau berkata, antara barang kawalan dan barang keperluan bagi persediaan musim tengkujuh adalah beras, susu pekat dan susu tepung, garam, gula, tepung gandum, minyak masak, sardin, petrol, diesel dan LPG.

Dalam masa sama, katanya, pihaknya juga akan membantu agensi lain terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya tidak menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan barang keperluan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN