GAZA CITY 22 Sept. – Seorang lelaki Palestin mati ditembak tentera Israel manakala 300 lagi cedera dalam pertempuran terbaharu di sepanjang sempadan Gaza semalam.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, Ashraf al-Qudra berkata, mangsa, Karim Mohammed Kallab, 25, meninggal dunia akibat tembakan pada bahagian perut semasa bantahan di timur bandar ini.
Katanya, mereka yang cedera termasuk seramai 54 orang yang ditembak menggunakan peluru hidup.
Penduduk Palestin telah melancarkan bantahan besar-besaran di sepanjang sempadan itu sejak berbulan-bulan lamanya dan sekurang-kurangnya 185 daripada penduduk berkenaan mati ditembak tentera Israel sejak 30 Mac lalu.
Seorang tentera Israel maut ditembak oleh penembak hendap Palestin.
Menurut wakil AFP, pertempuran semalam adalah yang paling dahsyat dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
Tentera Israel berkata, lebih 10,000 orang berkumpul di beberapa lokasi sepanjang sempadan itu pada petang semalam.
“Mereka membaling bom tangan dan bahan letupan serta batu selain membakar tayar ke arah tentera Israel dan pagar keselamatan,” katanya.
Tentera Israel mendakwa tindakan mereka menggunakan peluru hidup sebagai tindak balas terhadap penduduk Palestin adalah sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – AFP










