ARAGON, Sepanyol – Pelumba Movistar Yamaha Tech3, Johann Zarco percaya bahawa tiada sebarang penyelesaian boleh dilakukan terhadap masalah terbaharu jentera Yamaha dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila sekali lagi mempamerkan aksi hambar pada Grand Prix (GP) Aragon Ahad lalu.
Pengeluar Yamaha bukan sahaja mengalami kemarau kemenangan berterusan buat kali ke-23 setakat ini, malah mereka gagal menempah sebarang kedudukan podium dalam empat perlumbaan berturut-turut.
Pelumba berusia 28 tahun tersebut mengakui menghadapi kesukaran yang sama dengan pelumba Yamaha lain iaitu Valentino Rossi dan Maverick Vinales biarpun memulakan aksi awal musim dengan baik.
“Tiada penyelesaian untuk masalah yang dialami kami sekarang. Jika kami tingkatkan pecutan ketika berada di bahagian selekoh, kami menghadapi risiko untuk terjatuh dan situasi tersebut akan sangat merugikan.
“Bagaimanapun, jika kami perlahankan jentera dalam usaha mengawal kemungkinan tergelincir, maka jentera tersebut tidak akan boleh memecut laju, sebaliknya menjadi. Saya sudah tidak tahu apa yang perlu kami pilih untuk bersaing di litar ketika ini.
“Masalah ini sudah lama berlanjutan. Kami sudah mencuba pelbagai cara sepanjang musim ini. Sebagai pelumba, hal ini menyedihkan saya kerana saya mula mempersoalkan kemampuan diri sendiri,” ujarnya. – Agensi










