Zakaria letak jawatan sebagai Presiden, CEO Kumpulan FGV Holdings Bhd. - Utusan Malaysia

Zakaria letak jawatan sebagai Presiden, CEO Kumpulan FGV Holdings Bhd.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Datuk Zakaria Arshad telah meletak jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, dengan peletakan jawatan itu, penggantungannya yang diumumkan sebelum ini telah berakhir.

Bagaimanapun, penyiasatan forensik yang dinyatakan dalam kenyataan FGV daripada lembaga pengarah pada 28 Ogos lalu akan diteruskan.

Siasatan yang dimulakan pada akhir 2017 untuk melihat pelbagai transaksi yang menyebabkan FGV terdedah kepada kerugian besar dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

FGV juga memberi jaminan bahawa perniagaan kumpulan akan diteruskan seperti biasa.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, Jawatankuasa Lembaga Khas 2 yang terdiri daripada empat Pengarah FGV iaitu Pengerusi, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Datuk Dr. Salmiah Ahmad, Dr. Mohamed Nazeeb P. Alithambi dan Datin Hoi Lai Ping akan terus melaksanakan fungsi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV,” katanya.

Zakaria digantung tugasnya untuk kali kedua pada Khamis lepas.

FGV menjelaskan bahawa penggantungan itu berikutan berakhirnya siasatan dalaman mengenai 10 isu kritikal yang mengakibatkan kerugian kewangan bagi FGV dan pemegang sahamnya.

“Saya mengambil keputusan ini setelah berfikir secara mendalam demi kebaikan semua pihak dan juga masa depan FGV. Walaupun dengan perasaan berat, saya meletakkan kepentingan FGV melepasi kepentingan saya.

“Saya telah bersama dengan organisasi ini sejak 35 tahun yang lalu dan saya sentiasa mahu melihat kumpulan FGV berjaya dan menjadi kebanggaan negara,” kata Zakaria dalam satu kenyataan mengenai peletakan jawatannya. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini