PADA 7 September lalu saya dijemput untuk sesi memperkenalkan X70 kepada media yang merupakan model pertama kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton.
Walaupun ini adalah daripada model naik taraf Geely Boyue dari China, tetapi terdapat beberapa sentuhan reka bentuk Malaysia yang menjadikannya cukup bersesuaian dengan cita rasa rakyat dan iklim di negara ini.
Proton X70 ini pada mulanya akan dibuat sepenuhnya di China sebelum dipasang di negara ini pada tahun hadapan.
Geely Boyue telah diperkenalkan di Malaysia pada Jun 2017 ketika Geely membeli kepentingan di dalam Proton sebanyak 49 peratus dan selepas itu model tersebut telah mula berada di jalan raya untuk ujian sebelum dilancarkan pada hujung tahun ini atas nama Proton X70.
Malah, Proton turut mengumumkan X70 boleh mula ditempah pada 8 September di semua pusat Proton 3S dan 4S dengan deposit sebanyak RM1,000 tetapi harga sebenarnya akan diumumkan pada majlis pelancaran rasminya pada akhir tahun.
Reka bentuk
Oleh kerana Proton X70 ini daripada model Boyue, maka penulis sukar untuk mencari faktor ‘wow’ ketika dipertontonkan kepada media. Malah secara sepintas lalu penulis terbayang model Pajero Sports ketika melihat Proton X70.
Tetapi X70 ini adalah jauh lebih baik. Antara perubahan ketara adalah pada bahagian jeriji yang dicetuskan daripada bentuk busur yang melambangkan ketangkasan, kecepatan dan ringan.
Proton telah memasukkan unsur-unsur unik yang terdapat di Malaysia dan menerapkan dalam reka bentuk X70 untuk menghargai keunikan dan kekayaan persekitaran tradisi dan warisan tempatan.
Begitu juga dengan lencana Proton, pada pertengahan jeriji tersebut selain diapit dengan jeriji tiga bar mendatar. Jika diperhatikan secara teliti rekaan bar itu mempunyai corak pengulangan tersendiri yang diilhamkan oleh ketukangan Malaysia dan warisan semula jadi.
Lampu utama berkembar LED yang ditiruskan pada sisi dengan lampu nyalaan siang seperti berbentuk L terbalik. Pada bawah bampar hadapan terdapat lohong besar yang dihiaskan dengan jeriji lurus warna perak dan terdapat lampu bulat untuk kabus.
Selain itu bentuk badannya melalui silhouette yang diukir garisan penuh bertenaga diinspirasikan daripada bentuk berotot dan lincah yang digambarkan daripada keluarga kucing yang besar seperti Harimau Malaya.
Proton telah membangun dan mengembangkan seni ukiran kayu tradisional ke dalam susunan reka bentuk yang digelar Infinite Weave pada X70.
Cermin ketiga pada bahagian sisi badan agak kecil dibelakang. Lampu brek pula memanjang dan terdapat panel bertulis Proton ditengah-tengahnya. Lampu kabus tunggal pula bahagian bawah dan reka bentuknya sama seperti model-model Proton yang lain.
Panel hitam dengan jalur krom di bawah bampar mengelilingi SUV itu menjadikan ia lebih menarik dan garang. Ia menggunakan rim aloi 18 inci.
Hiasan dalaman
Pada ruang dalaman pula, unsur-unsur seperti kerusi kulit Nappa, sentuhan aksen aluminium dan skrin sentuh mencetuskan elemen kemewahan dan teknologi.
Garis kontur pada kerusi seperti separa bucket, selesa dan lembut. Pada kerusi belakang pula ditengahnya agak berbonjol dan tidak sesuai untuk penumpang yang berbadan besar bagi perjalanan jauh.
Bagi penulis, 90 peratus kemasan dalamannya hampir sama dengan Boyue. Papan pemuka landai dengan corong pendingin hawa di bahagian tengah agak kecil dan menirus. Aksen aluminum memanjang dan ditamatkan pada pembuka pintu yang berbetuk G. Paparan meter halaju pula seperti meniru Volvo, iaitu besar di tengah.
Terdapat corong untuk pendingin hawa bagi penumpang belakang. Apa yang paling menarik adalah corong penyegar udara pintar betul-betul di atas pendingin hawa penumpang belakang itu.
Ciri-ciri bantuan pemanduan
Ciri-ciri tambahan yang menjadikan Proton X70 ini boleh mencabar SUV lain ialah kamera 360 darjah yang memaparkan halangan persekitaran kereta dalam bentuk tiga dimensi. Ini akan memudahkan pemanduan terutamanya dalam mengendalikan sebuah SUV yang besar dan tinggi.
Bantuan seperti sistem pemantauan angin tayar turut disertakan dan kamera pandangan hadapan diletakkan pada bahagian atas cermin hadapan yang dihubungkan kepada sistem bantuan pemanduan terdiri daripada sistem brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan dan cruise control adaptif.
Proton X70 juga dibekalkan dengan ciri Kawalan Jauh Telefon Pintar.
Terdapat port USB yang cukup banyak iaitu dua untuk penumpang hadapan dan pemandu, dua untuk penumpang belakang dan satu lagi di belakang cermin pandang belakang.
Varian
Proton X70 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu model asas Standard Pacuan Dua Roda (2WD), Executive 2WD, Executive Pacuan Semua Roda (AWD) dan Premium 2WD.
Kesemua varian ini bakal dijana enjin dan transmisi yang sama iaitu enjin petrol empat silinder 1.8 liter TGDI turbo berkuasa 181 hp dan kilas maksimum 285 Nm digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan automatik.











