DIKATAKAN ada individu yang bergelar pemimpin pernah berkata: “Jangan bimbang, apa-apa isu pun yang membabitkan keresahan rakyat khususnya orang Melayu di negara ini hanya lenyap sekitar tempoh 10 hari…” Ertinya, ‘gempar’ orang Melayu tidak bertahan lama. Mereka dilihat tidak berusaha untuk mengejar sesuatu isu atau permasalahan itu sehingga berakhir dengan mendapat jawapan tepat dan penyelesaian yang munasabah.
Sekelumit kata-kata itu perlu diambil (pick-up) oleh orang Melayu sebagai satu cabaran. Perlu dibuktikan kepada umum, bahawa orang Melayu tetap bersemangat tinggi dalam memperjuangkan segala hak dan keistimewaan yang sepatutnya mereka miliki, selain menentukan semua pihak memperoleh kebajikan dan perhatian yang adil dan sewajarnya.
Tidak perlu selamanya orang Melayu selesa dengan alasan “tidak mahu panjang-panjangkan”, sedangkan kedudukan agama dan bangsa kerap diungkit dan dipersenda. Mereka perlu bangkit menyuarakan dan bertindak mencari penyelesaian dan rumusan yang terbaik atas isu-isu yang membabitkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
Semakin kerap tindakan menguji pasaran dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, yang mahu melihat reaksi umat Islam dan orang Melayu atas isu-isu berkaitan agama dan kaum. Mereka menggunakan pendekatan ‘liberalisasi’. Penghujungnya memohon maaf kerana kononnya tersasul, terlepas pandang atau bermacam lagi alasan. Jangan ada istilah terhenti misalnya dalam mencari keadilan bagi hal-hal yang membabitkan perundangan. Mana-mana sudut yang dilihat ‘pincang’ atau ‘tidak logik’ perlu terus disuarakan dan diperbetulkan. Mana mungkin aspek undang-undang negara hanya dipatuhi oleh sesetengah pihak saja?
Sementara itu, perkara yang melibatkan lunas-lunas Islam perlu dipertahankan. Perlu tegas tanpa kompromi. Soalnya, bukan untuk mencari populariti politik atau kepentingan mana-mana pihak. Menegakkan perundangan syariah bukan untuk mencerminkan Islam itu bengis, tidak bertimbang rasa, dan boleh mencetus trend kononnya negeri-negeri akan berlumba-lumba menjadi ‘siapa lebih Islamik’.
Janji-janji dalam manifesto juga tidak wajar tenggelam dalam sekelip mata atau dipersoalkan sekadar bermusim. Aspek-aspek yang berhubung dengan kepentingan rakyat secara umum jangan mudah diketepikan. Umpamanya dalam isu kos sara hidup. Mesti dicari jalan penyelesaian yang praktikal dan terbaik.
Menghidupkan persoalan-persoalan yang menyentuh tentang kepentingan kehidupan rakyat adalah tindakan wajar. Ini bagi memberi pengajaran supaya tidak ada pihak secara sesuka hati atau sewenang-wenang membuat janji tetapi sukar ditepati.
Rakyat Malaysia semakin bijak menilai dan menghitung suasana kehidupan harian. Mereka semakin tahu memahami antara alasan atau keupayaan sebenar. Sebab itu mereka tidak bersedia untuk ‘terbelit’ dengan bermacam teori dan rekacipta skrip ‘sandiwara’ hanya untuk mengalih tuntutan bagi melihat apa yang dimaksudkan sebagai pemulihan, perubahan, penambahbaikan sebagaimana yang dijanjikan.
Jangan menghina rakyat dengan kata-kata: “Jangan harap wang percuma…”. Tidak perlu dibosankan dengan alasan-alasan klise seperti kemampuan kewangan negara terhad atau kononnya ada kaitan dengan hutang yang tinggi. Yang menghairankan rakyat, kenapa sebelum ini hal-hal demikian tidak berbangkit?
Masakan rakyat boleh menutup mulut melihat projek-projek pembangunan yang sudah diluluskan dan sedia dilaksanakan sebelum ini hanya diwarnai dengan istilah-istilah tangguh, batal, kaji semula, penjenamaan semula, tanpa memberi penjelasan apa alternatifnya?
Maknanya, rakyat berhak terus menanyakan aspek penyelesaian, gantian, perancangan atau program baharu jika yang terdahulu dikatakan tidak sesuai, tidak efisien atau tidak berimpak tinggi. Jika tidak, rakyat tentu merasa kecewa.
Kes-kes berkaitan pelantikan jawatan di mana-mana institusi juga perlu dipandang serius. Rakyat perlu terus bersuara dengan tidak terbatas ‘tempoh 10 hari’ bagi menyatakan bantahan jika didapati sebarang pelantikan itu tidak layak atau tidak sesuai. Hormati penjawat awam yang menjalankan tugas mengikut etika dan peraturan.
Pendek kata, demi kepentingan kehidupan rakyat dan survival negara, rakyat perlu pastikan mereka tidak semudah dipandang boleh melupakan sebarang isu membabitkan mereka, hanya ‘dibisingkan’ dalam tempoh sekitar 10 hari atau dua minggu. Dan rakyat sentiasa impikan kemakmuran berterusan…dahulu, kini dan selamanya…!
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.











