Wanita Sabah juara sulung ragbi - Utusan Malaysia

Wanita Sabah juara sulung ragbi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 16 Sept. – Skuad ragbi wanita Sabah 7-sebelah muncul juara sulung dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Perak selepas acara itu dalam kategori wanita buat julung kali diperkenalkan dalam temasya dwitahunan tersebut.

Sabah yang turun dengan dibarisi beberapa pemain kebangsaan, nyata bukan tandingan apabila berjaya melakar kemenangan mudah 31-0 ke atas Selangor dalam perlawanan final di Stadium Ragbi Perak, di sini hari ini.

Gangsa berjaya di raih pasukan Kedah selepas menewaskan Johor 12-0.

Pemain kebangsaan, Henrietta David berkata pasukannya telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi temasya ini termasuk menyertai Kejohanan Ragbi 7-Sebelah Borneo dalam memantapkan lagi kefahaman antara pemain.

Tambahnya, walaupun pasukan itu baru dibentuk pada awal tahun ini, namun keserasian antara pemain begitu baik sekali gus menjadi kunci utama pasukan Sabah meraih kejayaan berkenaan.

“Walaupun nampak seperti menang mudah tetapi semua ini di atas disiplin, kerja keras dan kerjasama yang tinggi antara setiap pemain. Kami menyerang dan bertahan dengan baik sehingga tidak membenarkan lawan mendapat sebarang mata.

“Ini penampilan kali pertama dan terakhir di Sukma, pastinya menjadi kenangan paling manis untuk saya di temasya ini dan berharap ragbi 7-sebelah wanita ini akan dipertandingkan lagi pada temasya akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Kelantan muncul juara bagi kategori lelaki apabila mudah menundukkan Terengganu 19-0 manakala gangsa milik Negeri Sembilan yang menang ke atas Wilayah Persekutuan 21-14.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN