PADANG BESAR – Seorang wanita berusia 50-an ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis kerana menyimpan daun ketum dipercayai untuk dipasarkan ke Thailand dalam kejadian pukul 12.58 tengah hari semalam.
Komander Aksem Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pemeriksaan anggotanya mendapati, terdapat 17 guni berisi 789 kilogram (kg) daun ketum yang diletakkan di garaj kenderaan kediamannya di Kampung Kolam di sini.
“Suspek warga Thailand itu mengaku daun ketum itu miliknya.
“Harga pasaran daun ketum itu bagi pasaran tempatan kira-kira RM63,120.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, kes penyeludupan daun ketum ke Thailand berlaku aktif hampir setiap hari melalui jalan tikus.
Harga daun ketum bagi pasaran tempatan kira-kira RM30 satu kg sementara bagi pasaran Thailand meningkat sekali ganda iaitu RM60 hingga RM80 sekilogram. – K! ONLINE










