KUALA LUMPUR 17 Sept. – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan bersetuju dengan pandangan Bersih 2.0 supaya sistem ‘First Past the Post’ yang sedang diamalkan ketika ini dikaji semula.
Jelas Wan Saiful, sistem FPTP tidak membantu melahirkan persaingan yang sihat jika wujud lebih daripada dua parti malah mengakibatkan parti-parti yang kecil mungkin tidak dapat bersaing langsung.
“Berhubung dengan sistem FPTP, saya bersetuju dengan seruan Bersih agar ia difikirkan semula. Inilah yang menyebabkan di Malaysia parti-parti politik terpaksa membentuk gabungan, jika mereka bertanding sendirian maka cabaran yang mereka hadapi adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bersih sebelum ini berulang kali menyeru supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi mengkaji masalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu bagi pembaharuan jangka panjang sistem pilihan raya termasuk kemungkinan mengubah sistem FPTP yang dilaksanakan sekarang kepada ‘Proportional Representation’ (PR) atau gabungan kedua-duanya.
Dalam pada itu, tambah, Wan Saiful, sistem yang berteraskan PR adalah lebih adil dalam situasi wujudnya banyak parti politik di Malaysia.
“Sistem PR akan membolehkan parti yang kecil sekalipun mendapat peluang yang adil tanpa perlu bergabung dengan sesiapa. Ini memastikan suara minoriti pun berpeluang didengari dalam pilihanraya Malaysia.
“Pandangan daripada Bersih ini akan saya bawa kepada jawatankuasa yang sewajarnya dalam kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











