PONTIAN 17 Sept. – Seorang warga Bangladesh dihadapkan di Mahkamah Sesyen Imigresen, di sini sebentar tadi atas 16 pertuduhan menyimpan pasport, memalsukan dokumen visa serta menyalahgunakan pas lawatan pada bulan lalu.
Md. Mohiuddin Mamun, 40, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Zahilah Md. Yusof.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun lapan bulan, denda RM30,000 serta dua sebatan ke atas tertuduh.
Mengikut 14 pertuduhan pertama, Md. Mohiuddin didakwa menyimpan pasport milik orang lain, manakala dua lagi pertuduhan melibatkan salah guna pas dan cubaaan untuk membuat, memalsukan atau meminda sesuatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah premis dan sebuah rumah sewa di Jalan Wang Ah Fook, Johor Bahru antara pukul 4 hingga 5 petang pada 27 Ogos lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Norzuriana Muhammad Nor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN ONLINE.











