[VIDEO] Gagal seludup 435 haiwan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Gagal seludup 435 haiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 22 Sept. – Perjalanan tiga hari dua malam sebuah bot yang mengandungi 435 spesies haiwan dilindungi termasuk anak orang utan bernilai lebih RM500,000 ke negara jiran gagal apabila ditahan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), semalam.

Bot yang dinaiki tiga lelaki warga Indonesia berusia 40 hingga 50 tahun itu ditahan ketika anggota dari cawangan Penguatkuasaan Kastam Marin Kuala Perlis membuat rondaan di perairan Malaysia-Thailand pukul 12.35 tengah malam.

Haiwan tersebut diseludup dari Sumatera, Indonesia dengan melalui perairan negara ini sebelum transit ke Thailand untuk dijadikan haiwan peliharaan.


Video Oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, pihaknya melihat sebuah bot dinaiki tiga suspek berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahannya.

Menurut beliau, hasil pe­me­riksaan mendapati terdapat 39 kotak terdiri daripada 435 ekor haiwan dan unggas seperti dua ekor anak orang utan, anak musang albino, burung cen­derawasih, burung alba cockatoo, anak buaya tembaga, burung electus parrot; burung bayan nu­ri serta burung kuang raya betina.

“Mereka (suspek) gagal me­ngemukakan dokumen ber­kaitan barangan yang dibawa dan dikatakan sudah menempuh perjalanan selama dua hari tiga malam sebelum ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, bot tersebut dibawa balik ke pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Marin Kuala Perlis untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Menurut beliau, kesemua suspek akan direman sebelum dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) di bawah Seksyen 68(1)(a) iaitu memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN