TASEK GELUGOR 11 Sept. – Kegigihan serta kesungguhan Kamarudin Abdullah berdakwah untuk memartabatkan syiar Islam di negara ini sejak hampir tiga dekad lalu akhirnya mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan gelaran Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri tahun ini.
Kamarudin, 50, yang juga Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) berkata, beliau memulakan kerja-kerja dakwah itu seorang diri pada peringkat permulaan walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana usaha saya selama ini akhirnya membuka mata pelbagai pihak hingga layak diberikan pengiktirafan sehingga ke peringkat ini.
“Insya-Allah, saya akan meneruskan usaha saya ini (berdakwah) untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai Islam,” katanya.
Kamarudin berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Midtown Perda, Kubang Menerong, di sini hari ini.
Beliau sebelum ini kerap mengendalikan sesi kelas agama membabitkan saudara baharu selain bertanggungjawab membawa masuk beberapa penceramah terkemuka seperti Dr. Zakir Naik dan Sheikh Yusuf Estes ke negara ini.
Selaku Tokoh Maal Hijrah, pendakwah yang terkenal dengan kelantangannya mempertahankan Islam itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000, trofi serta hadiah sampingan lain yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Yang hadir sama isteri beliau, Toh Puan Majimor Shariff; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dan Timbalan Ketua Menteri I yang juga Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) (Agama) negeri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Selain Tokoh Maal Hijrah, beberapa anugerah lain turut disampaikan pada majlis berkenaan termasuk Anugerah Penarafan Bintang Masjid yang diberikan kepada lima masjid terbaik iaitu Masjid At-Taqwa, Masjid Al-Jalal Wal Kamal, Masjid Dato’ Sheikh Adnan, Masjid Lahar Tabut dan Masjid Kebun Sireh.
Turut diberikan Anugerah Saudara Kita (Siti Sarah Tan Abdullah), Anugerah Pendakwah Negeri (Ridoudin Abdul Wahab) serta Anugerah Bapa dan Ibu Mithali yang masing-masing diberikan kepada Che Sulong Mat dan Datin Kalthum Ibrahim.
Kesemua mereka menerima wang tunai berjumlah RM4,000, sijil penghargaan serta hadiah sampingan lain.










