UMNO perlu bertanding di Port Dickson - Utusan Malaysia

UMNO perlu bertanding di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Pergerakan Pemuda UMNO berpendirian bahawa UMNO perlu meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi memberi saingan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki berkata, ini kera­na negara ini mengamalkan demokrasi yang perlu diraikan semua pihak.

Malah katanya, Majlis Ter­tinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dijangka berme­syuarat pada 24 September ini untuk memutuskan sama ada meletakkan calon atau tidak dalam PRK berkenaan.

“Demokrasi kita kena raikan. Sudah tentu kalau tanya siapa calonnya, kami Pemuda akan mencadangkan calon daripada Pemuda. BN perlu bertanding PRK ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan kali ketiga Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin dan beberapa pe­mimpin di peringkat akar umbi menyatakan panda­ngan supaya UMNO tidak perlu meletakkan calon di PRK Port Dickson.

Ketika ditanya mengenai terdapat beberapa pe­mimpin UMNO yang akan membantu Anwar berkempen pada PRK Port Dickson, Asyraf menjawab, Pemuda UMNO menghormati kebebasan bersuara daripada pemimpin sehingga ke pe­ringkat bawahan.

Namun, beliau menegaskan masih ada batasan terhadap kebebasan ber­kenaan.

“Kalau ada perlanggaran prinsip, perkara ini boleh diambil perhatian barisan kepe­mimpinan tertinggi.

Cuma jangan cepat untuk menidakkan suara berbeza dalam parti kita. Itu prinsip Pemuda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN