MASJID TANAH 21 Sept. – UMNO hanya akan menjadi salah satu parti dalam lipatan sejarah dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya tidak berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan parti itu untuk berdepan dengan cabaran politik masa kini.
Bekas Ahli Majlis Tertingginya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kenyataan itu dibuat kerana parti tersebut yang asalanya ditubuhkan untuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu kini dilihat seolah-olah sudah tidak mempunyai hala tuju dan tidak lagi mampu bersaing membela nasib rakyat.
Beliau yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri dan pernah berkhidmat di bawah tiga perdana menteri berkata, UMNO sepatutnya mengambil iktibar kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun masih gagal berbuat demikian sehingga menyebabkan beberapa ahli Parlimen mengambil keputusan keluar daripada parti baru-baru ini.
“Sepatutnya UMNO membuat post-mortem secara jujur dan ikhlas berhubung cabaran dan masalah dihadapi parti itu (selepas PRU-14) kerana kerusi UMNO masih banyak dimenangi, begitu juga sokongan orang Melayu di kampung-kampung masih kuat.
“Mereka perlu ada perubahan tetapi apabila orang tengok UMNO masih di takuk lama, perangai yang sama serta tiada perubahan ke arah nadwah atau islah, pemimpin UMNO juga nampak goyang kerana mereka tiada hala tuju yang jelas,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutup sambutan Bulan Kemerdekaan 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Hang Kasturi di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengetua SMK Hang Kasturi, Noridah Ab. Rahim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Datuk Kamarul Zaman Jantan.
Syed Hamid yang mengumumkan keluar daripada UMNO pada 29 Jun lalu ditanya mengenai tindakan dua Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman yang mengumumkan perletakan jawatan serta keluar daripada parti minggu ini. – UTUSAN ONLINE











