PARIS 19 Sept. – Pencemaran udara di bandar, kebanyakannya daripada asap kenderaan, dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap penyakit dementia, menurut penyelidikan diterbitkan hari ini.
Di seluruh dunia, kira-kira tujuh peratus individu berusia lebih 65 tahun menghidap Alzheimer atau beberapa bentuk penyakit nyanyuk, meningkat 40 peratus berbanding mereka berusia 85 tahun ke atas.
Jumlah mereka yang menderita penyakit berkenaan dijangka meningkat hampir tiga kali ganda di seluruh dunia menjelang 2050, sekali gus memberi cabaran besar kepada sistem penjagaan kesihatan.
“Pencegahan utama semua penyakit nyanyuk adalah kebimbangan kesihatan global bagi beberapa dekad akan datang,” kata para penyelidik dalam jurnal BMJ Open.
Bahan kimia yang dilepaskan oleh ekzos kenderaan seperti nitrogen dioksida dan jelaga berpotensi untuk meningkatkan risiko penyakit jantung, strok dan masalah pernafasan, terutamanya penyakit asma.
Bagaimanapun masih belum jelas sama ada kedua-dua bahan tersebut turut menyebabkan Alzheimer atau bentuk penyakit nyanyuk lain.
Pada September 2015, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat mendedahkan pengeluar kereta Jerman iaitu Volkswagen telah memasang sebuah peranti dalam kenderaannya untuk ‘menipu’ dalam ujian pelepasan bahan.
Dalam pada itu, Agensi Alam Sekitar Eropah menganggarkan lebih 400,000 orang di bandar Eropah mati pramatang setiap tahun akibat pencemaran udara. – AFP











