u-Pustaka sebagai pusat sehenti PNM - Utusan Malaysia

u-Pustaka sebagai pusat sehenti PNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

kAKI Nurul Naufarah Mazlan, 15, melangkah laju menaiki anak tangga Anjung Bestari, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kuala Lumpur.

Tidak seperti kedatangan pelajar lain yang sarat membawa beg, Nurul Naufarah hanya membawa kertas nota, pen dan telefon pintar iPhone sahaja.

Sebaik tiba di ruangan Perpustakaan Bestari, anak bongsu daripada lima beradik itu lantas memasukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan melalui portal dikenali u-Pustaka pada tablet jenama Samsung yang disediakan. Tablet berkenaan boleh diakses oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke PNM.

Perpustakaan Bestari Samsung telah ditubuhkan sejak 2016 hasil kerjasama antara PNM dan Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn.Bhd. Perpustakaan Bestari Samsung memberi pengalaman akses secara digital melalui pembacaan dan pembelajaran dengan aplikasi yang direka khas.

Menerusi portal u-Pustaka, Nurul Naufarah kemudian menekan aplikasi Score A Programme untuk mencari buku Geografi yang dikehendaki.

Score A Programme ialah pangkalan data e-Pembelajaran yang menyediakan rujukan sebanyak 257, 318 nota berdasarkan sukatan mata pelajaran terkini bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut pelajar Tingkatan 3 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kulim, Kedah itu, Score A Programme memberi jalan yang mudah untuk pelajar sepertinya mendapatkan maklumat menerusi Internet.

“Ada sesetengah informasi perlu diperoleh melalui buku di internet atau lebih mudah dipanggil e-Buku.

“Informasi ini amat berguna bagi kami terutamanya apabila ingin membuat kerja-kerja amali yang diberikan oleh guru,” ujarnya yang sedang dalam persediaan bagi menduduki ujian PT3.

Selain Score A Programme, terdapat 16 lagi aplikasi yang boleh diakses menerusi u-Pustaka.

Apa yang menarik tentang u-Pustaka, ia menghimpunkan 18 juta pangkalan data yang terdiri daripada pelbagai bahan bacaan antaranya e-Buku, e-Majalah, e-Surat khabar, e-Audio dan banyak lagi.

Portal maklumat

Menurut Pengarah Perkhidmatan Korporat PNM, Siti Aishah Sheikh Kadir, sudah menjadi keperluan bagi mana-mana perpustakaan yang ada di dunia untuk bergerak seiring dengan kemajuan zaman dan teknologi.

“Sama seperti PNM, walaupun peranan kami sebagai perpustakaan tradisional yang menyediakan pelbagai bahan berbentuk fizikal seperti majalah dan buku, namun kami sentiasa mengambil inisiatif dengan mewujudkan pelbagai kemudahan baharu berkaitan teknologi.

“Misalnya, kami mempunyai bahan kandungan digital dikenali u-Pustaka yang diwujudkan sejak tahun 2011. Ia berperanan sebagai portal maklumat sehenti untuk rakyat Malaysia yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo di PNM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, melalui u-Pustaka, pencarian maklumat boleh dilakukan di hujung jari sahaja. U-Pustaka memberi pengalaman baharu kepada orang ramai yang mahu mendapatkan apa sahaja informasi terdahulu dan terkini.

“Caranya mudah sahaja, pengguna hanya perlu mendaftar keahlian melalui portal www.u-pustaka.gov.my atau mana-mana kaunter serta kios yang terdapat di perpustakaan konsortium. Pendaftaran adalah percuma.

“Kita mempunyai lapan konsortium u-Pustaka yang terdapat dalam Katalog Induk Kebangsaan iaitu Sabah, Sarawak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan tiga di Kuala Lumpur,” terangnya.

Tempahan buku

Melalui u-Pustaka juga, tempahan buku boleh dilakukan dengan mudah. Pelanggan tidak perlu lagi datang ke perpustakaan untuk meminjam buku sebaliknya ia boleh dilakukan melalui portal tersebut.

Caranya ialah dengan membuat carian judul buku terlebih dulu, kemudian klik untuk tempahan secara online dan seterusnya memilih cara menerima buku yang ditempah.

“Pelanggan boleh memilih sama ada ingin mengambil buku dari perpustakaan empunya atau menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia dengan caj antara RM4 hingga RM19 bergantung pada lokasi dan berat buku untuk menerima buku yang ditempah.

“Pemulangan buku pula boleh dibuat sama ada menerusi pulangan di mana-mana lokasi perpustakaan konsortium, menggunakan Pos Malaysia atau melalui mesin gelongsor buku yang terdapat di beberapa lokasi terpilih,” ujarnya.

Antara lokasi mesin gelongsor buku adalah di Pusat Kejiranan Presint 16, Putrajaya; Perpustakaan UTC Keramat; AEON AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur; AEON Mahkota Cheras, Selangor dan beberapa Perpustakaan Awam. Kesemua senarai itu boleh didapati di dalam portal u-Pustaka.

Dalam pada itu, menerusi rekod PNM, 3.17 juta pengguna telah menggunakan portal u-Pustaka pada 2016. Angka itu meningkat kepada 28.9 peratus atau 4.091 juta pada tahun lalu.

Peningkatan itu melakar unjuran positif bagi PNM kerana ia menunjukkan semakin ramai masyarakat di negara ini yang menggunakan portal berkenaan.

Selain melayari pautan portal, u-Pustaka turut boleh dimuat naik menerusi aplikasi di Play Store bagi pengguna Android, Apps Store untuk pengguna iOS dan Amazon.com.

Sementara itu, PNM turut memperluaskan koleksi digital dengan menambah baik maklumat-maklumat sedia ada dan maklumat baharu agar dapat digunakan dengan lebih meluas.

Contoh koleksi digital yang disediakan ialah World eBook Library. Ia memiliki lebih 5 juta judul e-Buku yang menyediakan kandungan e-Buku, e-Audio dan e-Majalah. World eBook Library memiliki koleksi daripada perpustakaan terbaik di dunia termasuk Universiti Harvard, Universiti New York dan Universiti Michigan.

Tuan rumah

OokBee Buffet pula ialah pangkalan data yang menyediakan akses kepada 11,663 e-Majalah, surat khabar elektronik dan e-Buku terbitan lebih daripada 15 penerbit ternama tempatan seperti Karangkraf, Nanyang Siang Pau, News Straits Times, Dewan Bahasa dan Pustaka, Fixi dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah PNM, Datuk Nafisah Ahmad berkata, dalam mendepani cabaran dunia teknologi tanpa sempadan ini, PNM bersama perpustakaan lain di seluruh dunia sentiasa berbincang tentang pelbagai isu yang melibatkan pusat itu pada Kongres Sedunia Perpustakaan dan Maklumat, Persekutuan Antarabangsa dan Persatuan Institusi Perpustakaan (IFLA WLIC) yang di adakan pada setiap tahun.

Malaysia buat pertama kali menjadi tuan rumah bagi IFLA WLIC 2018 yang berlangsung pada 24 hingga 30 Ogos lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Penganjuran kali ke-84 itu melibatkan 116 negara, 3,500 pustakawan, 300 speaker dan 2,500 sesi perbincangan.

“Menerusi kongres itu, PNM akan terus berjuang dengan memantapkan lagi pemeliharaan dan pemuliharaan bahan-bahan warisan dunia. Selain itu, PNM akan terus berusaha untuk memberi akses ilmu dan maklumat yang saksama kepada setiap masyarakat.

“Dengan itu, PNM akan memperluaskan lagi u-Pustaka ke negeri-negeri luar bandar serta menaik taraf ruang serta perkhidmatan PNM demi keselesaan pengunjung,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN