Pada 24 Ogos 2015, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pernah melaporkan dalam media tentang isu harga rumah di negara ini yang disifatkan sebagai terlalu mahal sehingga menyukarkan rakyat memiliki sebuah rumah.
Secara purata harga rumah di Malaysia menurut KRI adalah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan rakyat dan kesannya harga rumah yang ditetapkan ‘sangat tidak mampu dimiliki’ berdasarkan piawaian antarabangsa.
Persoalannya, selepas tiga tahun laporan KRI itu dibentangkan, adakah harga rumah di Malaysia telah mengalami perubahan? Jawapannya tidak. Harga rumah di negara ini masih mahal dan terus mahal walaupun lokasinya terletak di bandar-bandar kecil.
Kadang-kadang kita sendiri tidak terfikir yang rumah teres setingkat di bandar kecil seperti pekan Rembau dan Batu Kikir, Negeri Sembilan boleh mencecah kira-kira RM250,000. Dahulu rumah teres setingkat di dua lokasi tersebut tidak sampai RM100,000. Bagi harga rumah teres dua tingkat pula, harga yang ditetapkan di lokasi sama melebihi RM300,000.
Bayangkan, jika itulah trend harga rumah di Rembau dan Batu Kikir, bagaimana pula harga rumah di bandar-bandar besar? Tidak perlu pergi jauh, cukup sekadar melihat harga rumah di bandar Seremban.
Semuanya mahal. Rumah teres setingkat, harganya boleh mencecah RM350,000; rumah teres dua tingkat (RM500,000-RM700,000); rumah berkembar (RM700,000 hingga RM1.5 juta); banglo (lebih RM1 juta) dan pangsapuri (RM250,000-RM350,000).
Cuba kita lihat pula harga rumah di Bandar Baru Bangi yang terletak kira-kira 33 kilometer dari Seremban. Di lokasi tersebut harga rumah yang ditawarkan rata-ratanya bermula daripada RM500,000 hingga RM2 juta (bergantung kepada model rumah).
Menyentuh harga rumah di bandar raya Kuala Lumpur, Putrajaya dan Shah Alam lagi tidak masuk akal. Masakan tidak, harga yang ditetapkan terlalu mahal. Sebagai contoh harga rumah teres dua tingkat boleh mencecah jutaan ringgit. Apatah lagi rumah berkembar dan banglo.
Mahu tidak mahu, terpaksalah beli rumah pangsapuri atau kondominium yang harganya kira-kira RM350,000 dan ke atas. Dengan harga rumah yang sebegitu rupa setiap daripada kita secara puratanya terpaksa membayar ansuran bulanan antara RM1,500 hingga RM5,000 sebulan selama 25 hingga 30 tahun, bergantung kepada jumlah pinjaman. Apa yang boleh dikatakan sebahagian besar gaji terpaksa digunakan untuk membayar ansuran rumah.
Inilah hakikat yang terpaksa ditempuh oleh rakyat kita. Meskipun terdapat projek-projek rumah mampu milik, namun jumlahnya terhad dan tidak semua yang bernasib baik untuk memilikinya.
Sehubungan itu, langkah kerajaan mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk bahan mentah utama dan perkhidmatan pembinaan dalam satu pengumumannya pada 12 Ogos lalu amat dialu-alukan. Antara bahan binaan terlibat ialah batu bata, simen, pasir dan besi.
Seperti mana kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah diharapkan lebih banyak respons positif diterima daripada pihak industri pembinaan berikutan langkah tersebut terutama melakukan perubahan terhadap harga rumah pada masa akan datang memandangkan kerajaan tidak lagi mengenakan cukai terhadap bahan mentah utama dan perkhidmatan pembinaan.
Setakat ini, hanya Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pulau Pinang yang bersedia menurunkan harga rumah sehingga 10 peratus untuk rumah melebihi RM300,000 serta diskaun enam peratus bagi rumah mampu milik berharga RM300,000.
Alangkah baiknya jika Rehda di negeri-negeri lain turut mengambil langkah serupa memandangkan harga bahan utama untuk binaan telah dikecualikan daripada cukai. Bagi penulis ini adalah suasana menang-menang yang akan menguntungkan pemaju dan pembeli. Rumah terjual dan pembeli pun senang hati.
Dalam isu ini seorang kenalan pernah berkata pada penulis, jangan biarkan pemaju dan pasaran menentukan segala-galanya sebaliknya kuasa yang ada di tangan kerajaan perlu digunakan untuk kebaikan rakyat.
Ada benar pandangannya itu. Hakikatnya, kerajaan berkuasa menetapkan satu harga siling berdasarkan formula tertentu bagi memastikan harga rumah yang ditetapkan benar-benar munasabah sekali gus mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.











